Gambar diambil daripada program Projek Komuniti SPOT terdahulu (2019–2025).
Objektif Program SPOT
Sesi pembelajaran kami membantu pelajar untuk:
• Fahami perubahan masa akil baligh & kesihatan reproduktif
• Kurangkan risiko seks awal & kehamilan remaja
• Kenal dan tahu cara hadapi grooming — online atau secara fizikal
• Buat keputusan yang selamat, beretika & penuh kesedaran
Kami percaya pencegahan bermula dengan pendidikan. Dan bila pelajar diberi maklumat yang betul, mereka mampu membuat pilihan yang melindungi masa depan mereka.
Kenali SPOT Community Project
Projek Komuniti SPOT ialah gerakan pendidikan yang dipimpin oleh sukarelawan, aktif sejak 2015 dengan fokus untuk memberi remaja akses kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif yang menyeluruh serta relevan. Matlamat kami jelas, untuk mendidik, memperkasa, dan membolehkan remaja memperoleh pengetahuan serta kemahiran yang menjadi asas kepada keputusan yang bijak dan selamat, melalui pendekatan yang sesuai mengikut umur serta peka terhadap budaya. Kami komited untuk menggalakkan pelajar membina sikap positif terhadap kesihatan seksual dan reproduktif, sambil memperkukuh kemahiran yang membantu mereka berkembang sebagai individu yang yakin, berdaya tahan, dan mampu membina hubungan sosial yang sihat.
Pada tahun 2025, dengan sokongan UNFPA Malaysia, kami akan memperluaskan keterlibatan komuniti dengan membawa program kami kepada lebih 20,000 pelajar di Malaysia.
Fokus Kami:
• Memperluaskan keterlibatan dengan komuniti luar bandar di kawasan utara, timur, selatan, dan Borneo, bagi memberi lebih ramai pelajar peluang menambah pengetahuan melalui perkongsian maklumat yang relevan dan berkualiti.
• Memperkukuhkan penglibatan dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar, membina daripada kejayaan tahun-tahun sebelumnya untuk meningkatkan impak dan menambah baik usaha kami.
Kami percaya setiap pelajar berhak memiliki pengetahuan, kemahiran, dan keyakinan untuk membuat keputusan yang bijak untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri mereka.
Pendekatan kami berasaskan hak asasi, sesuai mengikut umur, dan peka kepada budaya, selaras dengan Kurikulum PEERS serta Panduan Teknikal Antarabangsa bagi Pendidikan Kesihatan Seksual (ITGSE).
Kini, lebih 45,000 pelajar telah mengambil bahagian dalam program kami, disokong oleh lebih 400 sukarelawan terlatih yang memberi masa, tenaga, dan semangat untuk memastikan setiap sesi memberi makna.
Menjelang 2030, dengan sokongan sukarelawan, rakan kerjasama strategik dan rakan sekolah, kami berhasrat program kami dapat memberi manfaat kepada 100,000 peserta pelajar; satu sasaran yang jelas, berani, dan berpaksikan masa depan anak muda negara.

Kami menyampaikan pendidikan yang membekalkan setiap pelajar dengan pengetahuan, keyakinan, dan sokongan untuk memelihara maruah diri, memastikan keselamatan, dan membuka peluang bagi masa depan yang mereka impikan.



SPOT Community Project ialah inisiatif sukarelawan oleh Soroptimist International Club of Petaling Jaya
(PPM-001-10-23021995).